Melayani Tuhan Atau Menjalankan Tugas?

PERTANGGUNGANJAWAB:

MELAYANI TUHAN ATAU MENJALANKAN TUGAS?

Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik memberikan nyawanya untuk domba-dombanya. Orang upahan yang bukan gembala dan bukan juga pemilik domba-domba itu, akan lari meninggalkan domba-domba kalau ia melihat serigala datang. Maka domba-domba itu akan diterkam dan diceraiberaikan serigala. Orang upahan itu lari, sebab ia bekerja untuk upah.  Ia tidak mempedulikan domba-domba itu. (Yohanes 10:11-13, BIS)

Kekristianan bukan soal beragama tetapi soal perhubungan dengan Tuhan Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat kita secara peribadi. Perhubungan intim dengan Dia akan mempengaruhi perbuatan kita seharian samada dalam hubungan dengan sesama kita atau tanggungjawab yang dipercayakan kepada kita.

Bagi kita yang melayani Tuhan melalui apa bentuk sekalipun, kata pertanggunganjawab adalah suatu cabaran. Ini adalah kerana kita bertanggungjawab terhadap Tuhan, kepimpinan, sesama kita dan pelaksanaan tanggungjawab yang kita pikul. Dalam keghairahan kita untuk melaksanakan tanggungjawab kita dengan cemerlang, gemilang dan terbilang, kadang-kadang kita terlupa seketika samada perkara yang kita lakukan adalah sekadar suatu pelaksanaan tugas atau ungkapan kasih dan ibadah kita kepada Tuhan.

Adakah pelaksanaan tanggunganjawab kita itu sekadar menjalankan tugas atau melayani Tuhan. Fikirkan sejanak mengenai pelayanan yang kita anggap sederhana seperti pelayan jemaat, pembaca Alkitab, memimpin kebaktian dan sebagainya. Adakah kita melakukan semua ini kerana tugas atau pelayanan? Tuhan Yesus Kristus telah menggambarkan dua sikap tersebut melalui petikan di atas. Gembala yang baik itu melayani Tuhan sementara gembala upahan itu sekadar menjalankan tugas. Gembala yang baik itu sanggup mengorbankan segalanya, termasuk nyawanya sendiri, kerana gembala itu melayani Tuhan. Sebaliknya gembala upahan itu meninggalkan tanggungjawabnya apabila tercabar oleh suatu keadaan kerana gembala demikian hanya sekadar menjalankan tugas. Motivasi pelayanan seperti ini bukan kerana perhubungan dengan Tuhan tetapi banyak perkara yang lain. Sejarah pelayanan kita akan membuktikan motivasi kita dalam pelayanan.

Perhubungan kita dengan Tuhan akan mempengaruhi sikap kita terhadap pelayanan kita. Pelayanan yang dilakukan sebagai ungkapan ibadah kepada Tuhan akan diwarnai dengan sukacita dan pengharapan. Sebaliknya kalau kita sekadar menjalankan tugas dalam gereja dan tidak melakukan sesuatu sebagai ungkapan ibadah kepada Tuhan, apa sahaja yang kita lakukan bukan sahaja membebankan kita tetapi tidak menjadi berkat serta tidak memuliakan Tuhan.

Ramai orang yang sekadar beragama Kristian dapat menjalankan tugas tetapi belum melayani Tuhan melalui perbuatan mereka. Mungkin sahaja mereka bertugas tetapi bukan melayani. Tuhan mencari orang yang menyerahkan pelaksanaan tugas sebagai ungkapan ibadah di dalam pelayanan. Apabila hidup kita telah diserahkan kepada Tuhan sebagai persembahan yang hidup, apa jua yang kita lakukan akan menjadi ibadah yang sejati. 

Mungkin sahaja seseorang itu menjalankan tugas dalam gereja tanpa melayani Tuhan tetapi tidak mungkin seseorang Kristian itu melayani Tuhan tanpa menjalankan tugasnya dengan cemerlang, gemilang dan terbilang untuk kemuliaan Tuhan. 

Share Button

Leave a Reply