LEBIH DARI ATURAN

Petikan: Kemudian kata-Nya kepada mereka, “Manakah yang diperbolehkan pada hari Sabat, berbuat baik atau berbuat jahat, menyelamatkan nyawa orang atau membunuhnya?” Tetapi mereka diam saja. (Markus 3:4)

Encik Diman, seorang pekerja di kilang pakaian, datang lewat. Mengikut peraturan kilang, pekerja yang lewat 10 minit akan dipotong 50 peratus daripada gaji harian mereka. Walaupun mereka telah menyatakan sebab kelewatan itu, pihak kilang tidak mahu ambil tahu. Beberapa hari kemudian, pemilik kilang menerima panggilan dari hospital, yang pada dasarnya berterima kasih kepada Encik Diman atas jasanya menyelamatkan seorang kanak-kanak yang mengalami kemalangan di jalan raya. Atas jasanya, pihak hospital ingin memberikan anugerah kepadanya. Pemilik kilang itu berasa malu, kerana dia telah menjatuhkan hukuman dan tidak mengendahkan alasannya. Itulah manusia! Betapa mudahnya menghukum orang yang baik kerana mereka hanya berlandaskan peraturan yang tegar tanpa sedikit pun mempedulikan nilai kemanusiaan.

Yesus juga mengalaminya. Oleh beberapa orang, Dia cuba disalahkan kerana menyembuhkan satu tangan yang sakit pada hari Sabat. Tetapi Yesus tidak takut. Bagi Yesus, menolong dan menyembuhkan orang lain adalah jauh lebih penting daripada peraturan hari Sabat. Demi keselamatan orang lain, Yesus berani melanggar peraturan Sabat.

Dalam kehidupan, tidak jarang kita berhadapan dengan pilihan yang sukar: memilih untuk membantu orang lain dan dianggap telah melanggar peraturan atau tidak melanggar peraturan tetapi meninggalkan orang lain. Yesus menunjukkan kepada kita bahawa nilai kasih lebih tinggi daripada peraturan, oleh sebab itulah Dia memilih untuk menyelamatkan orang lain dan bersedia menanggung semua risiko. Adakah kita akan mengikuti teladan-Nya dalam kehidupan kita? –SY


MELAKUKAN SESUATU UNTUK KEBAIKAN ORANG LAIN JAUH LEBIH BERNILAI
DARIPADA MANA-MANA ​​PERATURAN MANUSIA.

Share Button

Leave a Reply