Yesus Peduli: Petanda Peribadi Penebus

Kelahuran Yesus KristusDunia kita pada hari ini penuh dengan tanda-tanda. Ada tanda-tanda yang membawa kebaikan seperti tanda-tanda di jalanraya tetapi tidak kurang juga tanda-tanda yang jahat seperti tanda-tanda yang kelihatan kepada seseorang yang menghidap penyakit tertentu. Manusia hari ini selalu melihat tanda-tanda yang sesuai dengan matlamatnya. Kalau matlamat seseorang itu baik, petanda baik yang dinantikan. Sementara mereka yang berniat jahat, pasti akan menatikan suatu ‘tanda yang baik’ walaupun pada hakikatnya petanda itu adalah isyarat kemudaratan.
 
Krismas pertama, bilamana Firman itu menjadi manusia di dalam peribadi Tuhan Yesus Kristus, disertai dengan tanda-tanda yang bertujuan untuk menonjolkan peribadi dan pekerjaan Anak Manusia itu.

1. PETANDA PERTAMA: SEORANG ANAK DARA MENGANDUNG

Yesaya 7:14, “Sebab itu Tuhan sendirilah yang akan memberikan kepada mu suatu PETANDA: seorang perempuan muda mengandung dan ia akan melahirkan anak laki-laki, dan ia akan menamakan Dia Imanuel.
 
Matius 1:22, “Hal itu terjadi supaya genaplah yang difirmankan Tuhan melalui nabi: “Sesungguhnya, anak dara itu akan mengandung dan akan melahirkan seorang anak laki-laki, dan mereka akan menamakan Dia Imanuel” – yang bererti: Allah menyertai kita….Ia mengambil Maria sebagai isterinya, tetapi tidak bersetubuh dengan dia sampai ia melahirkan anaknya laki-laki dan Yusuf menamakan Dia Yesus.

Alkitab jelas membuktikan bahawa kelahiran Yesus bukanlah hasil daripada pernikahan Yusuf dan Maria sebagai manusia yang telah mewarisi dosa Adam dan Hawa. Seandainya Yesus lahir sebagai akibat daripada pernikahan manusia yang berdosa, Dia pasti mewarisi dosa keturunan yang telah mengalir melalui setiap sel-sel darah semua mahluk yang bergelar manusia. Itulah sebabnya ‘semua manusia telah berbuat dosa dan telah kehilangan kemuliaan Allah’. Yesus dilahirkan tanpa dosa kerana Maria mengandung sebagai akibat daripada naungan Roh Kudus dan bukan kerana keinginan hawa nafsu manusia. Oleh yang demikian, hanya Yesus yang mampu menyelesaikan masalah dosa manusia dan semua akibat dosa kerana Dia tidak berdosa. Banyak idealisme manusia pada hari ini akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri kerana masalah dosa tetap gagal ditangani oleh manusia yang berdosa. Syukur untuk Tuhan Yesus Kristus yang tidak berdosa itu telah lahir ke dunia untuk menyelesaikan masalah dosa dalam dunia pada hari ini. Anda mungkin mengalami kegagalan demi kegagalan dalam menyelesaikan masalah moral anda. Datanglah kepada Tuhan Yesus yang tidak berdosa itu, sebab Dia mampu membawa perubahan dalam kehidupan anda.

2. PETANDA KEDUA: SEORANG RAJA DILAHIRKAN

Matius 2:1-2, “Sesudah Yesus dilahirkan di Bethlehim di tanah Yudea pada zaman raja Herodes, datanglah orang-orang Majus dari Timur ke Yerusalem dan bertanya-tanya: “Di manakah Dia, raja orang Yahudi yang baru dilahirkan itu? Kami telah melihat bintang-Nya di Timur dan kami datang untuk menyembah Dia.”

Kelahiran Tuhan Yesus bukan sahaja telah menyebabkan warga syurga memberikan sorakan yang terhebat pernah mereka lakukan, tetapi juga telah menyebabkan setiap penghuni istana di Timur Tengah dan Yerusalem tiba-tiba sebok. Semua agenda harian Diraja terpaksa diubahsuai sebagai tindakbalas terhadap berita terkini mengenai keputeraan seorang Raja di kandang binatang di Betlehim. Walaupun tidak ada siaran langsung oleh mana-mana stesyen TV mengenainya tetapi raja-raja Majus dari Timur telah melihat bintang petanda Kerajaan-Nya bersinar di angkasa beribu batu dari tempat kelahiran-Nya. Yesus lahir sebagai Raja di atas segala raja. Kerajaan-Nya kekal abadi tanpa dibatasi oleh kematian. Anda dan saya perlu memiliki Tuhan Yesus Kristus di dalam hati kita untuk menjadi warganegara kekal di dalam Kerajaan-Nya. Semua hak kehidupan yang ditawarkan oleh Dia di dalam kerajaan-Nya tetap menjadi milik anda walaupun kita meninggalkan dunia di suatu hari nanti. Ini adalah kerana Tuhan Yesus adalah Raja di atas segala raja, baik di dunia mahupun di syurga. Dia bertakhta selamanya. Sembahlah Dia!

3. PETANDA KETIGA: SEORANG BAYI DIBARINGKAN DI DALAM PALUNGAN

Lukas 2:11-12, “Hari ini telah lahir bagi mu Juruselamat, iaitu Kristus, Tuhan, di kota Daud. Dan inilah tandanya bagimu: kamu akan menjumpai seorang bayi dibungkus dengan lampin dan berbaring dalam palungan.”

Filipi 2:5-7, “Hendaklah kamu dalam hidup mu bersama menaruh fikiran dan perasaan yang terdapat juga dalam Kristus Yesus, yang walaupundalam rupa Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah itu sebagai milik yang harus dipertahankan, melainkan telah mengosongkan diri-Nya sendiri, dan mengambil rupa seorang hamba, dan menjadi sama dengan manusia. Dan dalam keadaan sebagai manusia, Ia telah merendahkan diri-nya dan taat sampai mati, bahkan sampai mati di kayu salib.

Tuhan memilih untuk datang ke dunia dengan cara yang dilalui oleh semua manusia untuk menunjukkan bahawa Dia peduli dan mengerti keadaan kita. Yesus dilahirkan di kandang haiwan walaupun Dia ialah Raja Damai. Dia menyerahkan nyawa-Nya di atas salib walaupun Dia boleh memanggil ribuan malaikat untuk melayaninya. Dia mengosongkan diri-Nya walaupun Dia adalah Pemilik yang mutlak terhadap segala ciptaan-Nya. Semua ini dilakukan oleh Tuhan Yesus kerana YESUS PEDULI akan setiap peribadi dan keadaan yang kita lalui. Tuhan mengasihi kita dan Dia buktikan itu di atas kayu salib. Lihatlah salib itu sebagai singgasana pertabalan seorang Raja dan anda akan melalui satu persfektif baru dalam kehidupan Kristian anda.
 
PENUTUP
 
Seorang angkasawan yang telah menjejakkan kaki di permukaan bulan pernah mengatakan bahawa, “Sungguh ajaib apabila seorang manusia berjalan di permukaan bulan tetapi LEBIH menakjubkan apabila Tuhan berjalan di permukaan bumi.”  Angkasawan ini telah melihat tanda mengenai Tuhan Yesus. Pengelihatan itu telah membawa angkasawan ini untuk menerima Tuhan Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi. Dia bertindak demikian kerana beliau percaya bahawa YESUS PEDULI dan Tuhan Yesus datang ke dunia untuk mencari dan menyelamatkan yang berdosa. Bagaimana dengan anda? Jangan biarkan hidup harian anda berlalu begitu sahaja tanpa sengaja memperhatikan tanda-tanda kehadiran-Nya yang ajaib. Anda mungkin adalah salah satu daripada jutaan manusia yang perlu percaya dan menerima Yesus dalam kehidupan anda!
 

Share Button

Leave a Reply