SELAMAT BERSARA…

SELAMAT BERSARA THE MOST REV DATUK YONG PING CHUNG
BISHOP SABAH (1990 – 2006)
ARCHBISHOP PROVINSI GEREJA ANGLIKAN ASIA TENGGARA (2000 – 2006)

PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI

Archbishop Datuk Yong Ping Chung merupakan seorang Paderi dan tokoh gereja yang unggul dan terbilang di Rantau Asia Tenggara dan di persada Eklesia Sedunia khususnya di kalangan jemaat Anglikan Sedunia. Beliau menjadi Bishop Diosis Sabah (1990 – 2006) dan memegang jawatan sebagai Archbishop atau Ketua Uskup untuk Gereja Anglikan di Provinsi Gereja Anglikan di Rantau Asia Tenggara (2000 – 2006). Dengan tanggungjawab ini beliau mewakili umat Anglikan di Rantau Asia Tenggara di peringkat Persidangan Tertinggi Para Ketua Uskup Anglikan Seluruh Dunia (Lambeth Conference) dan sekali gus meletakkan beliau antara tokoh rohani yang terbilang di persada Eklesia Antarabangsa. Beliau mempertahankan kesucian Injil dengan berani dan yakin selama tempoh beliau memikul tanggungjawab sebagai Archbishop.

Persaraan Archbishop Datuk Yong Ping Chung mirip kata pepatah "Patah Tumbuh Hilang Berganti". The Most Rev Dr John Chew, Bishop Singapura adalah Archbishop yang baru dilantik pada 5 Februari 2006 berlangsung di Katedral St Andrew Singapura. Bishop Datuk Yong Ping bersara sebagai Bishop Sabah pada 20 Februari 2006. Bakal Bishop Albert Vun akan menjadi Bishop Sabah yang baru dan kebaktian perlantikannya akan berlangsung pada 25 April 2006 nanti.

Sumbangan kepada Diosis

Di antara sumbangan beliau yang ketara kepada Diosis kita terbukti dengan pertumbuhan purata kehadiran mingguan kepada lebih dari 270% (1990-2002). Secara purata pertambahan ini diterjemahkan kepada 22.5% setiap tahun. Pertambahan para Paderi dan pemimpin awam adalah daripada 22 orang (1990) kepada 102 orang (2005). Pertumbuhan ini adalah kesan dan hasil daripada satu strategi ilahi yang beliau perkenalkan iaitu Misi 113 (Mission 113, setiap orang Kristian memuridkan satu orang baru dalam tempoh tiga tahun).

Gereja Pedalaman

Beliau juga adalah penerus dan pencetus kepada visi penerokaan, pengukohan serta perkembangan gereja-gereja di kawasan Pedalaman Sabah melalui strategi penginjilan, latihan pemimpin gereja serta pertambahan sumber (para paderi, penginjil dan pemimpin jemaat). Beliau melakukan semua ini bukan saja selaku Bishop Sabah tetapi juga semasa memegang jawatan Archdeacon dan Pengerusi Misi Pedalaman Anglikan Sabah (Sabah Anglican Interior Mission atau S.A.I.M). SA.I.M telah dimansuhkan pada 1999 untuk merintis jalan bagi gereja-gereja di Pedalaman menjadi gereja berdikari melalui Program Paroki Pedalaman.

Acara Perpisahan Dan Rancangan Archbishop

Dalam rangka menjelang persaraannya, Archbishop telah dapat melawat seluruh Diosis Sabah (bandar dan Pedalaman) dan mendapat sambutan hangat dari jemaat berulam perasaan sedih. Menurut kata beliau sambutan itu menyentuh hatinya.

Pada 19hb Februari 2006 satu majlis makan malam besar-besaran sebagai perpisahan kepada Archbishop Datuk Yong Ping Chung berlangsung di perkarangan Katedral All Saints Kota Kinabalu kemudian diikuti satu kebaktian di Katedral. Archbishop Rev Dr John Chew juga hadir pada majlis ini.

Keesoknya, beliau dijangka menyampaikan pesanan akhirnya kepada semua Paderi, Pastor dan Pemimpin gereja di hari pertama Konferensi Para Paderi dan Pastor. Pada sebelah malamnya satu lagi majlis makan perpisahan akan diadakan bersama para Paderi dan Pastor.

Beliau akan bercuti di luar negara untuk memberi ruang kepada Bishop baru untuk memulakan pentadbirannya. Dia akan bercuti di Amerika Syarikat bersama anaknya di sana. Menurut beliau, dia dan isteri Datin Julia Yong akan kembali ke Sabah setahun kemudian dan menawarkan diri melayani di Diosis Sabah terutama sekali mengisikan atau menyambung tanggungjawab pelayanan yang ditinggalkan oleh seseorang paderi yang ingin dan dibenarkan oleh Bishop untuk bercuti sambil belajar di tempat lain.

Dirgahayu

Diosis Sabah, jemaat serta semua hamba Tuhan mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbanganmu, Archbishop Datuk Yong Ping Chung, Datin Julia Yong, anak kamu Sarah dan Lois dan semua keluarga. Tuhan memberkati dan dipanjangkan umur untuk beribadah kepada Yesus Kristus.

Share Button

Leave a Reply