PenjalaFM

Rencana Mengenai Perkataan Allah

Emel Cetak PDF
Baru-baru ini saya mendapat sms daripada beberapa kawan memberi notis bahawa satu forum sedang berlangsung mengenai isu penggunaan Allah oleh masyarakat bukan Islam di TV1. Saya ingin memberi pandangan balas terhadap forum ini tetapi malangnya saya tidak mengikuti rancangan itu dari awal. Saya berterima kasih kepada peribadi-peribadi berkenaan yang mengirimkan sms kepada saya berkaitan perkara ini. Saya harap mereka boleh membaca maklum balas ini.

Walau bagaimanapun, saya ingin memberi maklum-balas mengenai forum ini tetapi melalui satu lapuran awal iaitu melalui Utusan Online yang disiarkan pada 2 Februari 2009 yang bertajuk Jangan kelirukan perkataan Allah.
 
Dalam lapuran laman web tersebut Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor selaku Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dipetik sebagai berkata dia bersetuju perkataan Allah tidak dipakai oleh agama lain kerana nama ini adalah nama untuk merujuk kepada Allah orang Islam sahaja. Beliau dipetik sebagai berkata “Setelah menimbangkan maslahah dalam konteks Malaysia, PUM mengambil pendirian bersetuju bahawa perkataan 'Allah' tidak wajar digunakan bagi agama lain selain daripada Islam.” Perkara ini timbul dari isu akhbar mingguan Herald Catholic yang dikatakan mencetuskan kemarahan masyarakat Islam kerana menggunakan perkataan Allah dalam edisi terbitan bahasa Melayunya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengingatkan supaya tidak ada orang yang terus menimbulkan isu menyentuh kesucian Islam di negara ini. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid menegaskan, perkara itu sepatutnya tidak timbul sekiranya semua pihak prihatin dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Pada 24 Januari lalu, seorang rakan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok merayu Kementerian Dalam Negeri membenarkan Herald Catholic menggunakan tulisan Allah dalam edisi terbitan bahasa Melayu sehingga mahkamah membuat keputusan.

Lapuran ini mesti menarik perhatian pihak tertentu khususnya daripada masyarakat bumiputera Kristian di Sabah, Sarawak serta seluruh orang Kristian di Semananjung Malaysia yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam kebaktian mereka termasuklah kalangan Orang Asli Kristian. Ketiga-tiga kumpulan ini menggunakan perkataan Allah bukan sahaja dalam kebaktian-kebaktian mereka tetapi juga dalam perbualan serta kehidupan seharian mereka untuk merujuk kepada Allah Mahakuasa Pencipta langit dan bumi iaitu Allah yang kita kenal di dalam nama Yesus Kristus. Malah seluruh masyarakat Kristian di Malaysia yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ibadah baik secara peribadi atau di dalam kebaktian mingguan memang dan harus berminat untuk mengetahui apakah dan sampai manakah kesudahan semuanya ini.

Saya mengatakan menarik kerana lapuran ini mengandungi lapuran yang memetik Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia iaitu sebuah Persatuan yang menjadi payung kepada semua ulama di negara ini. Para ulama atau ulema adalah kumpulan cerdik pandai Islam atau ahli teologi Islam. Dengan kata lain mereka adalah kumpulan cerdik-pandai, pemikir dan pakar dalam selok-belok agama Islam. Kegelisahan kumpulan ini adalah mengenai penggunaan perkataan Allah yang dianggap mengelirukan umat Islam apabila digunakan oleh orang bukan Islam. Dengan kata lain, apabila saja orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah maka umat Islam akan menjadi keliru. Saya rasa inilah inti sebenar penolakan ini dan diterjemahkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri.

Menurut Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor, isu ini harus diberi perhatian dalam konteks Malaysia dan pada pandangan saya ia amat berhubungkait dengan pengurusan dan pentadbiran agama rasmi di Malaysia. Maknanya di negara lain isu ini tidak menimbulkan isu kepada mereka sebagaimana yang dilihat berlaku sekarang di dalam konteks Malaysia. Perkataan 'Allah' tidak wajar digunakan bagi agama lain selain daripada Islam ujar Setiausaha Agung PUM ini. Beliau juga berkata, “menterjemahkan perkataan God kepada Allah bagi agama lain tidak sesuai dalam konteks Malaysia yang merujuk Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa”. Beliau menegaskan, PUM sendiri telah membuat ketetapan dalam mesyuarat ahli jawatankuasa tertingginya pada 24 Januari tahun lalu bahawa perkataan Allah tidak boleh digunakan oleh agama lain dalam sebarang penerbitan sama ada bahan edaran terhad, buletin atau kitab-kitab terjemahan. Ternyatalah pandangan ini diambil dalam konteks Malaysia.

Saya amat menghargai dan memang maklum akan pendekatan yang disuarakan oleh PUM ini. Bahawa sahnya di Malaysia nama Allah itu digunakan oleh penganut agama Islam untuk merujuk kepada Tuhan. Saya percaya individu atau masyarakat bukan Islam di Malaysia pada umumnya juga tahu bahawa penganut agama Islam memanggil Tuhan mereka dengan menggunakan nama Allah.

Pada masa yang sama, segolongan besar masyarakat bukan Islam di Malaysia khasnya penganut Kristian dalam kalangan bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak memahami atau tidak dapat menerima kaedah penjelasan mengapa mereka dilarang menggunakan perkataan Allah. Kita menggunakan perkataan ini dalam ibadah, nyanyian pujian, doa, perlengkapan, bahan bacaan dan seterusnya. Ini kerana kita sudah lama menggunakan perkataan ini, malah sudah menjadi kebiasan kita sebelumpun Malaysia ditubuhkan sebagai satu persekutuan pada 1963. Penggunaan ini berlaku untuk memenuhi keperluan bahasa agama dan bahasa ibadah yang boleh diterima dan difahami. Apabila Bahasa Malaysia digunakan sepenuhnya di negara ini sebagai bahasa pengantar baik di bangku sekolah, dalam pejabat kerajaan, dan seterusnya, maka penggunaannya semakin meluas dan pada hari ini masyarakat kita iaitu bumiputera Sabah dan Sarawak rata-rata fasih berbahasa Melayu, termasuklah penggunaan perkataan Allah. Malah, ramai juga orang yang mengambil nama Melayu sebagai nama mereka sendiri walaupun mereka bukan beragama Islam.

Golongan ini (rata-rata golongan muda) merasa janggal kalau menggunakan perkataan alternatif seperti Tuhan, walaupun perkataan Tuhan itu sendiri sejak semula sudah diterima dan menjadi antara senarai istilah yang merujuk kepada Allah Mahakuasa. Bahasa Melayu kini sudah menjadi jiwa kita iaitu jiwa golongan muda sehingga ada di antara kita tidak menggunakan bahasa ibunda di rumah sendiri. Apabila kita diminta menggunakan bahasa alternatif kita merasakan proses pendidikan itu harus diulang semula dan hal itu amat rumit dilakukan (a difficult relearning process). Oleh sebab kerumitan itu sudah dapat diduga akan berlaku maka sebarang keputusan untuk tidak membenarkan kita menggunakan perkataan ini dilihat sebagai satu keterbatasan beragama. Kita terasa seolah-olah larangan ini disengajakan dan kita terasa tertindas dan terkilan kerana tidak dapat menggunakan bahasa Melayu dengan sepenuhnya khususnya dalam bahasa ibadah kita. Masyarakat kita terasa seperti dihalang untuk mendekati Allah kita yang sebenar akibat sebarang larangan seperti ini.

Dalam pada itu, masyarakat kita amat memahami bahawa tidak timbul sebarang niat di pihak penganut agama Islam yang rata-rata dari suku Melayu untuk memonopolikan penggunaan perkataan ini atau sengaja melarang penggunaan perkataan ini demi menyekat kemajuan beragama. Mereka tidak ada tujuan untuk menindas dan menghadkan kebebasan beragama dari sudut bahasa. Tetapi sekiranya timbul larangan tersebut dengan alasan ia akan mengelirukan penganut Islam di Malaysia, dan apabila hal ini dikaitkan pula dengan isu mingguan Herald Catholic yang dikatakan mengelirukan umat Islam, maka persoalan yang harus diselesaikan sekarang adalah samada mingguan Herald Catholic boleh disabitkan kesalahan menggunakan nama Allah dengan niat mengelirukan umat Islam di Malaysia atau sekadar memenuhi keperluan agama dan rohani pembaca mingguan ini. Maka dalam hal ini mahkamah mampu memberikan keputusan yang wajib dan wajar.

Dan isu bahawa perkataan Allah itu adalah nama khas untuk Tuhan penganut Islam di Malaysia bukan sahaja perlu difahami dan harus diakui. Tetapi pada hakikatnya, setiap agama yang bersifat monoteistik mempunyai sifat universalme, bermakna tuntutan menterjemahkan fahaman tersebut mengikut kekuatan dan keunikan bahasa ibunda/pengguna atau bahasa kebangsaan penganut agama tersebut, dan menjadi satu kewajipan pemimpin agama. Kekuatan dan keunikan pasti akan timbul dan diterjemahkan dalam bentuk budaya, lukisan, istilah, tulisan, perkataan, dll. Ia timbul kerana ada permintaan serta kewajipan untuk menyampaikan maksud atau fahaman agama kepada penganutnya. Saya sangat setuju perkara ini tidak boleh dibenarkan mencetuskan krisis agama paling teruk di negara ini kerana semua pihak mampu menggunakan akal dan fikiran positif untuk memelihara kestabilan dan keharmonian pelbagai kaum dan pelbagai agama berasaskan perlembagaan negara kita.

Kekuatan beragama haruslah disemai dan dipupuk dalam diri penganut dan para pemimpin pula dituntut bertanggungjawab mencari dan mencipta platform dalam bentuk budaya dan bahasa untuk mencapai matlamat itu. Apabila fahaman agama itu sudah teguh dan berakar maka tidak ada faktor luaran atau lahiriah, rohaniah atau dalaman yang mampu mengganggu-gugat iman atau mengelirukan kepercayaan seseorang.

Setiausaha Agung PUM, Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor berkata, menterjemahkan perkataan God kepada Allah bagi agama lain tidak sesuai dalam konteks Malaysia yang merujuk Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa. Penterjemahan ini amat dikesali namun ia timbul dari keperluan tertentu yang secara jujur dan kreatif mencari wadah mencetus dan mengekspresikan iman dan kepercayaan dalam kalangan sendiri yang dipacu oleh perkembangan serta tuntutan semasa.

Mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya jangan terus menimbulkan isu menyentuh kesucian Islam di negara ini; inilah adalah nasihat yang bijak dan waras. Ia wajib dipandang serius dan diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak. Kesucian Islam atau mana-mana agama di Malaysia tidak akan tercemar atau dicemari jika terdapat kefahaman serta persefahaman yang amat dalam khususnya dari soal penggunaan bahasa dan ekspressi agama melalui bahasa. Namun begitu dalam perspektif yang lain perkara ini boleh dilihat sebagai usaha kreatif di mana kita dapat mencetuskan transformasi bahasa kebangsaan kita menjadikannya bahasa pengantar fahaman agama di peringkat yang lebih luas dan terbuka.

Saya tertarik dengan rujukan yang dibuat Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor terhadap pandangan Marshall G.S. Hodgson melalui buku beliau, The Venture of Islam: Conscience and History in a World Civilization yang menulis bahawa terma 'Allah' disebut oleh bukan Muslim yang berbahasa Inggeris adalah merujuk kepada Tuhan dalam Islam. Beliau dipetik sebagai berkata, ''Hodgson menyebut orang Islam menyembah Tuhan bernama Allah yang bukan sekadar Tuhan sebagai pencipta,'' dan Mohd. Roslan seterusnya menyatakan secara khusus bahawa perkataan Allah mempunyai partikel 'al' iaitu al-ilah yang dalam bahasa Inggeris, ia merujuk kepada The Only God dan bertanya ''Justeru adakah orang bukan Islam mempunyai konsep yang sama? Sudah tentu tidak," katanya. Saya katakan “Ya”. Tambahan pula, agama Kristian ini bukan lagi agama milik orang Inggeris tetapi boleh menjadi agama bukan orang Inggeris. Pandangan penulis dan pensyarah ulung ini adalah benar kerana dia menggambarkan penggunaan perkataan ini dari sudut masyarakat Eropah. Apakah jawabannya pula jika dia mendengar kita pula menggunakan perkataan yang sama untuk merujuk kepada Allah Pencipta langit dan bumi yang kita kenal dalam nama Yesus Kristus?

Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor berkata, terdapat ayat al-Quran yang menyebut, ''bila ditanya kepada mereka (yakni bukan Islam) siapakah yang menjadikan langit dan bumi? Lantas mereka menjawab, Allah." Jelasnya, meskipun dalam ayat itu, orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah, ia adalah merujuk tentang Allah sebagai tuhan dalam konteks rububiyah (ketuhanan) dan bukannya uluhiyah (keesaan Allah). Kita tahu bahawa makna God itu adalah seperti dalam Kitab Keluaran 15:11 yang berbunyi “Siapakah yang seperti Engkau, di antara para allah, ya TUHAN; siapakah seperti Engkau, mulia karena kekudusan-Mu, menakutkan karena perbuatan-Mu yang masyhur, Engkau pembuat keajaiban?”

Apabila menggunakan Bahasa Melayu untuk berkhotbah dan mengajar saya merasa janggal menggunakan perkataan God untuk merujuk kepada Allah kerana saya tahu perkataan God itu adalah bahasa Inggeris sedangkan saya menggunakan bahasa Melayu. Demikian juga apabila saya menggunakan bahasa ibunda saya Kadazan, saya menggunakan perkataan Kinoringan bila saya merujuk kepada Allah dan tidak menggunakan perkataan Allah. Ini adalah soal terjemahan dari satu bahasa ke satu bahasa dan bukan niat menimbulkan kekeliruan kepada mana-mana pihak.
 
Bila kita mula mengambil agama Kristian secara serius kita mencari makna dalam penggunaan istilah dan perkataan. Kita mencari makna yang paling dekat dengan maksud asal dan sebenar sebagaimana digunakan oleh orang Kristian lain yang terlebih dahulu mengenal dan memahami dinamika konsep kata dan istilah itu dan seterusnya memasukkannya dalam rangkaian kata kita. Kita yakin bahawa Bahasa Malaysia mempunyai kata Allah untuk Allah Pencipta Bapa kita di syurga. Kita mengguna pakai perkataan ini bersama saudara seiman kita di rantau ini dan juga oleh penganut Kristian Arab di negara Arab untuk mencerminkan maksud Allah yang sama. Justeru, apabila kita menggunakan perkataan ini di Malaysia, kita harus berhati-hati supaya tidak berniat mengelirukan golongan tertentu. Jauh panggang dari api.
Komen
Carian
hanya ahli berdaftar boleh mennghantar komen!!

3.26 Copyright (C) 2008 Compojoom.com / Copyright (C) 2007 Alain Georgette / Copyright (C) 2006 Frantisek Hliva. All rights reserved."

 

Radio Penjala FM

Radio FM Rakan Penjala
Status: PenjalaFM
Sedang Bersiaran
Bersama:
Brenda - Melangkah Pasti - Inilah Hidupku

Panel Ahli

Statistik

286 berdaftar
0 hari ini
0 minggu ini
45 bulan ini
Terkini: bennylin
Tiada ahli online
Guests: 6

Statistik Pelawat

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterHari ini29
mod_vvisit_counterKelmarin180
mod_vvisit_counterMinggu ini1590
mod_vvisit_counterBulan ini29
mod_vvisit_counterJumlah1374329

Gereja Anglikan

Info Umum

IP Anda
38.107.191.92
 

Komen Ahli