RAJA TERSESAT DI ISTANA

Matius 2:1-12

Krismas datang lagi! Sekali imbas seolah-olah perayaan Krismas tidak jauh berbeza dengan perayaan-perayaan lain. Pada zaman ini, kepentingan Krismas sangat tertakluk kepada pandangan golongan tertentu yang seringkali mengaitkan perayaan Krismas dengan agenda mereka tersendiri. Apabila Krismas diperalatkan dalam agenda manusia, pengertian mengenainya akan menjadi lebih mengelirukan kerana setiap golongan tertentu akan berusaha mewarnai Krismas sesuai dengan citarasa masing-masing. Situasi yang merunsingkan ini seharusnya membawa kita untuk kembali kepada erti asal Krismas di dalam Alkitab dengan merenung sejanak kepentingan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku semasa Krismas yang pertama.

’Rusa masuk kampung’ adalah tanggapan saya mengenai tiga orang raja atau lebih dikenal dengan orang Majus dari timur yang telah tersesat di istana raja Herodes dalam usaha untuk mencari ’raja orang Yahudi yang baru dilahirkan itu.’ Mereka mencari Raja yang baru lahir ini dengan berbekalkan bukti yang meyakinkan melalui bintang dan dengan kerinduan hati yang amat dalam untuk menyembah Dia. Berita kelahiran Raja yang baru ini ternyata lebih mengejutkan seluruh Yerusalem berbanding dengan kunjungan raja-raja Majus dari Timur. Raja Herodes sendiri tiba-tiba meluangkan waktunya untuk membuat penyelidikan yang seksama mengenai Raja yang baru lahir itu. Tidak keterlaluan kalau dinyatakan di sini bahawa Raja Herodes telah mengaktifkan seluruh sistem pemerintahannya hanya untuk meminta keterangan yang pasti mengenai Mesias itu secara khusus melalui keterangan semua imam kepala dan ahli Taurat serta orang-orang Majus itu sendiri. Walaupun penyelidikan Raja Herodes mengenai Raja yang baru lahir itu dibayangi oleh niat yang tidak murni secara manusia, tetapi sekurang-kurangnya raja Herodes telah mendapat kesempatan untuk mendengar erti Krismas yang asli iaitu kedatangan Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat umat manusia daripada maut kekal kepada hidup yang kekal. Sebagai seorang raja yang berkuasa dan tinggal di istana yang mewah, sukar untuk menolak kemungkinan bahawa Herodes tidak akan dapat mendengar Injil dan berpeluang untuk menyerahkan kehidupannya kepada Tuhan Yesus. Apabila semua pintu kesempatan bagi Herodes untuk mendengar Injil telah terkunci, Tuhan tetap menyatakan keadilan dan kasih-Nya dengan membiarkan tiga raja Majus tersesat di istana Herodes untuk menyelamatkan Herodes yang juga tersesat secara rohani di dalam istananya sendiri.

Apakah yang mewarnai perayaan Krismas anda? Mungkinkah sambutan Krismas anda diwarnai oleh ’istana-istana’ peribadi yang menutup kesempatan bagi anda untuk mengenal Raja Yesus Kristus yang baru mahu lahir di hati anda? Di mana sahaja anda berada dan siapa sahaja anda, mungkin renungan ini adalah seperti kunjungan orang Majus yang tersesat di istana kehidupan anda. Doa kami agar anda tidak mengikut jejak Herodes yang gagal memanfaatkan kesempatan yang terhidang di hadapannya untuk mengenali Yesus Kristus. Percayalah dan terimalah inti Krismas iaitu Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat anda secara peribadi agar perayaan Krismas anda akan lebih bererti untuk anda dan terlebih lagi untuk Tuhan.  Tuhan memberkati anda dan keluarga sempena hari Krismas ini. Amin!

Share Button

Leave a Reply