
"Selamat Hari Paskah. Berikut adalah khotbah Rev Canon Lidis Singkung yang disampaikan pada Paskah 2009. Selamat merayakan Paskah"
Intipati Hati Paskah - Berhubung kepada Hari Paskah
Yohanes 20:1-18
Pendahuluan
Selamat Hari Paskah!
Sudah tentu, saudara yang hadir ini ingin mengetahui maksud Paskah yang sebenar. Hari ini adalah perayaan Paskah iaitu kebangkitan Tuhan Yesus Kristus dari kematian. Kebaktian dan perayaan ini merayakan kebangkitan dan kemenangan Tuhan Yesus atas kematian. Dari sudut pelayanan sel, hari ini bersempena dengan Paskah 2009 kita merayakan buat julung kalinya perayaan sel dewasa. Kita juga mau hubungkan kelompok sel dengan kebaktian minggu. Kita mau mengangkat dan memertabatkan sel dewasa kita dengan mengadakan perayaan ini serentak pada pagi ini! Tidak semestinya kita mengadakan perayaan sel dewasa pada hari minggu atau setiap minggu tetapi tidak salah juga kalau kita adakannya pada hari minggu. Sel zon muda-mudi boleh terus adakan perayaan mereka tiga kali setahun.
Kita merayakan Paskah ini dengan cara sederhana. Selain kebaktian keluarga melalui perjamuan kudus, kita akan memberikan satu hadiah istimewa iaitu Telur Paskah dari anda kepada anda. Dalam pengumuman tadi saya telah menjelaskan maksud disebalik tradisi telur ini. Kita memberikan kepada semua dan setiap orang di sini pagi ini. Sebahagian anggota sel kanak-kanak yang sudah pulang ke rumah mereka atas sebab kebiasaan sudah dihadiahkan Telur Paskah sebelum mereka dihantar pulang. Mungkin, sekarang ini mereka sedang enjoy makan telur itu. Tapi untuk kita di sini, kita akan memberikannya sebelum anda pulang hari ini dan anda memakannya di rumah nanti. Dan jangan lupa, sebelum anda pulang, jangan lepaskan peluang menghilangkan rasa dahaga anda. Singgahlah ke pos minuman kita yang ditaja oleh Syarikat Teck Guan Tawau.
Saudara, menyebut tentang kefahaman kita akan Paskah ini, memang bukan mudah untuk dijelaskan sepuas-puanya maksud Paskah ini. Bagi sesetengah orang, Paskah ini adalah sangat luar biasa dan menghairankan.
Seorang guru sekolah minggu (sel kanak-kanak) baru saja selesai menceritakan bagaimana Yesus disalibkan, dikuburkan dan ditutup liang kubur itu dengan batu yang sangat berat supaya tidak ada orang dari luar boleh masuk atau dari dalam boleh keluar. Guru itu ingin mengongsikan keajaiban kebangkitan pada pagi Paskah yang indah itu, dia bertanya kepada anak-anak sekolah minggunya: "Dan pada pendapat adik-adik, apakah mungkin perkataan yang pertama dan terdahulu keluar dari mulut Yesus apabila Dia keluar dari kuburan itu?"
Satu tangan terangkat pantas dari bahagian belakang kelas. Ia milik seorang anak perempuan kecil molek. Dia bangun dari kerusinya dan berseru dengan kuat, "Saya tau, saya tau, saya tau."
"Bagus, kata cikgu itu, "Katakan kepada kami."
Anak itu mengangkat tangan kiri dan kanan ke atas dan berseru: "TA - DA!"
Saudara, dalam nada yang lebih serius, jika kita melihat di sekeliling kita pada hari ini, terdapat satu keupayaan manusia, seperti internet, yang mudah dan pantas untuk berhubung dan menghubungkan idea dan kepercayaan ke serata dunia dan kepada sesiapa saja. Semakin lama perkara ini menjadi kebiasaan dan hal ini merubah sejarah dunia. Peristiwa yang mengubah rentak dunia adalah sangat penting. Sementara kita memperhatikan semuanya ini berlaku, kita mesti tanya-tanya, apakah yang sedang kita lakukan pula di Rumah Doa ini. Adakah kita juga mengubah dunia atau dunia kita. Apakah sedang saya lakukan di atas pentas ini, di mimbar ini. Bukankah yang berlaku di luar sana lebih memberikan kepuasan dan kerancakan hidup. Firman Tuhan ini yang dibacakan sebentar tadi mengingatkan saya dua perkara.
Pertama, saya diingatkan bahawa tidak ada satu peristiwa dalam dunia ini yang telah mengubahkan dunia begitu berkuasa jika berbanding kehidupan, kemangkatan dan kebangkitan Yesus Kristus.
Dan kedua, saya diingatkan akan satu kebenaran mudah mengenai kehidupan. Jantung hidup kita tidak akan berdenyut berterusan selama-lamanya. Ada kematian dan ada maut. Masing-masing kita harus berhadapan dengan kefanaan kita. Tidak ada kemenangan ketenteraan, tidak ada kesembuhan dari ubat ajaib, tidak ada negara yang dapat melengkapi sebarang peribadi untuk dapat menjawab persoalan akhir hidup ini. Dan pada pagi ini saya berdiri mengisytiharkan Pengharapan itu, iaitu pengharapan akan Kebangkitan-Nya. Ada kematian. Benar. Tetapi hidup juga ada dalam Yesus Kristus, pengharapan kebangkitan kita.
Saudara, anda hadir pagi ini dengan satu pengharapan dan penantian dan kerinduan. Soalan berat ada dalam fikiranmu dan banyak yang tidak terjawab, bukan? Adakah kita memiliki pengharapan? Terdapatkah hidup yang baru? Terdapatkah alasan mengapa kita bersukcita? Jawaban itu sudah tiba pada hari ini, sedia menanti anda, saya katakan kepada anda.
Berita itu mempunyai tiga perkataan: Kristus Sudah Bangkit! Berita baik untuk mereka yang tawar hatinya. Berita baik untuk mereka yang hilang sukacitanya dan tersesat. Berita baik untuk mereka yang kehilangan orang yang tersayang, Kristus sudah bangkit dari kematian.
Pada pagi ini, mari bersama saya memperhatikan tiga implikasi Paskah dari petikan ini
1. Pertama, kerana Kebangkitan itu murid-murid Yesus diubah.
Kerana kebangkitan itu para murid Yesus menjadi saksi yang berani.
Dalam cerita ini kita menyaksikan perbualan di antara malaikat, Yesus dan murid mengenai kebangkitan Yesus. Akhir dari setiap perbualan kita harus berhubung kepada tajuk Paskah. Apapun juga, jika kita menanggapi Kekristenan kita dengan serius, ia akan pasti memimpin kita kepada kebangkitan di hari Paskah. Pada suatu hari seorang anak muda bertanya kepada pastornya, "Apakah pendapat pastor mengenai kebangkitan, dia tanya. Pastor itu menjawab: Saya percaya ia adalah satu kebenaran dan bukan hanya di dalam kotak fikiran manusia. Apakah buktinya pastor, anak muda ini bertanya lagi. Pastor itu persembahkan Saki A: para murid Yesus Kristus. Kedua belas murid ini tidak akan menggadaikan nyawa mereka semata-mata untuk memperjuangkan sesuatu perjuangan yang mereka tahu adalah pembohongan.
"Saya tidak tahu," anak muda itu bingung. "Saya benar-benar tidak faham." Itu adalah masalah anak muda itu. Dia mencari pengetahuan, bukan iman. Kita tidak berkata: Kristus yang telah bangkit dari kematian, nyatakan diri kepada saya kemudian saya akan percaya. Tetapi haruslah disebaliknya. Kristus yang bangkit menyatakan diri hanya kepada mereka yang terlebih dahulu percaya. Malaikat itu berkata: Pergilah ke Yudea dan di sana kamu akan menemukan Dia. Saya percaya Yudea melambangkan masyarakat orang percaya. Yudea adalah tempatnya Yesus membuktikan kepada pengikut-Nya bahawa Dia sudah bangkit. Dia tidak menunjukkan diri kepada Kaiafas atau Pilatus atau Herodes dunia ini.
Terdapat satu tempat di bahagian selatan benua Afrika. Tempat ini dipenuhi dengan pengalaman ribut taufan yang menggerunkan setiap pengembara lautan di zaman lampau. Sekian lama orang tidak mengetahui ada harapan di sebalik tempat ini kerana selama itu tidak ada kapal yang pernah kembali untuk menceritakannya. Jadi, tempat ini dipanggil Cape of Storms (Tanjung Ribut Taufan) dan memang masuk akal. Tetapi pada kurun ke 16 seorang pengembara Portugis bernama Vasco De Gama, berjaya berlayar melepasi tanjung ini dan mendapati di sebalik tanjung ini ada lautan yang terbentang luas dan tenang dan nun di sana lagi adalah benua lagi yang hari ini dipanggil India. Nama tempat itu diubah daripada Tanjung Ribut Taufan kepada Tanjung Pengharapan Baik.
Demikian juga dengan Paskah dan kebangkitan ini. Sebelum Yesus Kristus bangkit dari kematian, maut adalah seperti tanjung rebut taufan dimana setiap pengharapan hidup hancur belaka dipukul ombak. Tidak ada satu orang yang tahu apa yang ada di sebalik maut, sehinggalah pada pagi hari Paskah, dimana visi dan nubuatan Yesaya menjadi kemenangan Yesus ke atas musuh ketat. Seolah-olah seperti pengembara masa lampau, kita sekarang dapat melihat di sebalik rebut taufan ada pengharapan syurgawi dan hidup kekal bersma Bapa Allah kita. Tetapi lebih dari itu semua, kita berani percaya bahawa kita akan mengalami sepenuhya apa yang dialami Yesus Kristus kerana Dia yang sudah bangkit ini mengatakan kepada kita, , "Kerana saya hidup, engkau juga hidup." Inilah intipati iman Paskah.
Pada hari ini, marilah menjadi saksi Yesus yang berani dan berhikmat. Walau apapun ribut dan taufan kita buktikan kita adalah jemaat yang setia.
2. Kedua, kerana Kebangkitan pandangan kita terhadap kematian berubah.
Kerana kebangkitan itu kita tahu kehidupan kita melangkaui batas bumi dan dunia jasmaniah.
Kita semua mengandaikan dan mengharapkan kematian terjadi kepada kita. Dalam banyak hal, kita adalah sama seperti murid-murid asal itu, saya rasakan begitulah. Kita ini sama seperti para wanita itu yang melawati kuburan pada pagi hari itu. Kerana mereka telah mendengar janji Yesus bahawa pada hari ketiga, Anak Manusia akan bangkit dari kematian dengan kuasa Allah. Mereka mendengar janji Yesus kepada orang yang disalibkan di sebelah di atas kayu salib itu, "Pada hari ini engkau bersama aku di firdaus." Mereka mendengar Yesus mengajar, "Akulah kebangkitan dan hidup; barangsiapa percaya dia tidak mati." Namun, pada pagi hari itu apabila mereka menziarahi kuburan itu, mereka memikirkan kematian, bukankah begitu? Apabila mereka sampai pada pagi itu, mereka memikirkan kematian, walaupun mereka sudah mendengar janji-janji dan pengajaran Yesus. Dan saya khuatir anda dan saya tidak jauh bezanya dengan para wanita itu. Walaupun kita sudah mendengar perjanjian Allah seperti itu. Ya, kita sudah mendengar perjanjian ini berkali-kali, sebagai contoh, "pada hari ketiga saya akan bangkit"; "pada hari ini engkau bersama saya di firdaus"; "Akulah kebangkitan dan hidup". Kita telah mendengar perjanjian ini tetapi masih datang kepada kuburan kita, pada pagi hari minggu seperti para wanita itu menjangkakan kematian sudah berlaku. Kerana jauh dalam sanubari seseorang adalah satu keraguan bahawa itu sajalah yang ada dalam dunia ini. Fikiran ini kurung kita dalam penjara kotak pemikiran; mereka semadikan kita dalam kuburan; dalam masa yang ditentukan keranda dan kita di dalamnya akan reput dan musnah, sama seperti yang lain-lain.
Mengapa kita berfikiran pesimis seperti ini? Inilah yang dikatakan seorang ahli falsafah Sigmund Freud sebagai "naluri maut" dan terdapat dalam manusia dan juga haiwan. Jauh dalam sanubari kita ada perasaan takut dan keraguan bahawa itu saja yang ada dalam dunia ini. Jadi kita masuk ke dalam liang kubur, ibu dan bapa, ayah dan nenek dan atuk, dll; kita tiba ke persada maut kehidupan; dan kita dengan perlahan dan senyap berdoa: "Aku percaya, tolong saya yang tidak percaya ini." Dan kita mati.
Tetapi tunggu dulu. Kita tidur. Dan kemudian... kemudian... dan kita berkata ..."Wow!!! Ia sukar dipercayai tetapi sangat cantik dan indah!!! Terkejut. Nafas terhenti seketika. Dan kita terperanjat, takjub akan keindahan yang Allah sediakan untuk kita. Seperti kata Rasul Paulus, "Tidak ada mata dapat melihat, atau telinga mendengar, atau fikiran membayangkan betapa baik dan indahnya Allah sediakan bagi kita yang percaya." Kita dibangkitkan kerana Yesus Kristus.
Paskah adalah kehidupan-dan orang Kristian penuh dengan kehidupan dan berkelimpahan, atau setidak-tidaknya kita memilikinya. Hidup baru. Hidup berkelimpahan. Hidup diselamatkan. Hidup dibangkitkan. Tujuan kehidupan bukan untuk mati. Paskah bermakna hidup yang berkemenangan atau maut selama-lamanya.
Merayakan Paskah adalah yang tebaik yang gereja dapat lakukan kerana ia adalah perayaan segala sesuatu yang baik, benar dan indah. Sepatutnya, kita membuktikan pagi ini bahawa merayakan Paskah adalah satu kebaktian umum yang paling agung yang gereja pernah lakukan untuk dunia ini. Mengapa? Kerana kebenaran Paskah segala sesuatu kita lakukan dapat dilakukan. Kita buktikan kebangkitan dan kemenangan ini juga dengan kehadiran kita secara peribadi dan keluarga dalam kebaktian setiap minggu.
3. Kerana Kebangkitan, pandangan kita terhadap Yesus sudah berubah.
Kerana kebangkitan itu kita menjadi pengikut yang setia kepada Yesus.
Yesus Mahu Pengikut. Dari masa ke semasa orang bertanya kepada saya bolehkah kebangkitan Yesus dibuktikan. Tidak dapat. Apa lagi, Yesus sendiri tidak memerlukannya untuk dibuktikan. Dia sentiasa mahukan pengikut bukan mata-mata gelap.
Ke lembah maut sekalipun. Charles Kingsley adalah seorang pengkhotbah gereja Anglikan yang dipakai Allah dan dikenali ramai. Dia dan isteri menghidap penyakit yang berat dan diletakkan dalam bilik yang berlainan tetapi dalam bangunan hospital yang sama. Mereka hanya berhubung melalui surat dan nota. Satu hari isteri mengirim nota: "Sayangku, adakah saya seorang pengecut apabila gementar berhadapan dengan kematian." Dia membalas "Jangan takut! Tempat itu tidak gelap, kerana Allah adalah terang. Tidak ada kesunyian kerana Kristus ada di sampingmu." Inilah maksud pengharapan kebangkitan. Tangan kita tidak mampu bertahan tetapi tangan Allah sentiasa menggenggam erat tangan kita.
Penutup
Apakah akan berlaku hari ini
Kita tidak dapat merancang bila kita dapat bertemu dengan Yesus yang sudah bangkit kerana kita tidak pernah tahu bila atau dimana Dia akan nyatakan diri. Tetapi satu hal yang pasti, Dia akan lagi. Jika anda percaya, Dia akan nyatakan diri dan sikap anda harus dalam sikap penanantian yang sungguh dan berwaspada setiap waktu.
Soalan
1. Apakah pandangan anda terhadap Yesus dan kematian
2. Apakah perubahan yang jelas telah terjadi kepada anda
| Komen |
|



























