Empat Orang Memandang Sodom

Petikan : Kejadian 13:10; 18:16; 19:26 & 19:28

Pendahuluan

Kota Sodom dilukiskan dunia kita hari ini. Manusia mempunyai berbagai cara memandang dunia ini sama seperti 4 orang memandang Kota Sodom.

I.           Bagaimana Lot memandang Sodom

“Lot memandang di sekelilingnya dan nampak bahawa seluruh Lembah Yordan, sampai ke kota Zoar mempunyai banyak air, seperti Taman TUHAN atau seperti tanah Mesir. (Begitulah keadaannya sebelum TUHAN memusnahkan kota Sodom  dan Gomora.)” Kej 13:10

Lot adalah kemenakan Abraham dan tinggal dengannya. Oleh sebab itu dia juga mempunyai bahagian dalam perjanjian Allah. Tetapi dari cara dia memandang kota itu, kelihatan kepada kita bahawa dia sebenarnya tidak layak bagi perjanjian itu. Lot hanya mahu melihat hal-hal yang indah dipandangan sahaja. Dia terpukau dengan kekayaan kota Sodom tanpa mengerti disebalik keindahan terselit kejahatan. Ramai orang memandang dunia ini sama seperti Lot.  Mereka tidak melihat atau dapat melihat bahawa dibelakang dunia ini terdapat kejahatan dan kedurhakaan semata-masa. Umat Tuhan, apakah kita juga memandang dunia ini seperti Lot? Lot berkemah di Sodom, ditengah-tengah dosa, kedurhakaan dan kenajisan.

Keadaan itu menyebabkan pihak-pihak lain, iaitu tetamu Abraham memandang negeri itu. Hal ini dapat kita huraikan menurut pandangan Allah.

II.          Bagaimana Allah memandang Sodom

“Kemudian ketiga-tiga tetamu itu meninggalkan tempat itu, lalu pergi ke suatu tempat. Di situ mereka dapat memandang kota Sodom.” Kej 18:16

Cara Alah memandang Sodom sangat berbeza dengan cara Lot. Allah memandang langsung ke dalam batin anak-anak Sodom. Sodom negeri yang amat makmur, tetapi dosa durhakanya pun makmur juga di sana! Penduduknya pernah dihukum oleh Allah, iaitu raja-raja dari timur mengalahkan mereka, tetapi anak-anak Sodom tidak mau bertaubat. Sebab itu, mata Allah sekarang memandang ke arah Sodom, bukan lagi dengan kasih, tetapi dengan kemurkaan. Inilah Hakim yang memandang Sodom, yang akan menjatuhkan hukum. Meskipun demikian, Hakim itu masih mencari-cari, kalau-kalau dapat ditemukkan-Nya sepuluh orang yang benar, supaya ia dapat memperlihatkan anugerah-Nya. Tetapi sayang… tidak ada!

Saudaraku yang kekasih, jika kita tetap tinggal dalam dosa di tengah Sodom dunia ini, mata Hakim yang kudus itu terus menerus memandang kepada kita. Hendaklah kita bertaubat dan meninggalkan cara hidup lama kita yang tidak berkenaan kepada Allah supaya kita tidak binasa sama seperti anak-anak Sodom. Mata manusia mencari benda-benda kekayaan, tetapi mata Allah mencari kebenaran.

Sodom dibinasakan oleh Allah, tetapi Lot dan seluruh keluarganya diselamatkan. Meskipun begitu, hati orang yang belum betaubat tetap keras dan mau memandang dan mencari barang-barang yang binasa, seperti dalam hal…

III.        Bagaimana isteri Lot memandang Sodom

“Tetapi isteri Lot menoleh, lalu dia berubah menjadi tiang garam.” Kej 19:26

Malaikat Allah sudah melarang Lot dan seisi keluarganya supaya jangan menoleh ke Sodom. Tetapi di tengah jalan, isteri Lot tidak dapat menahan lagi keinginannya, sehingga akhirnya ia menoleh. Ia masih mencintai Sodom, masih ingat akan mas-peraknya. Allah menuntut mereka berjalan terus dan memandang ke hadapan. Sayang, kerana dengan sekali sahaja menoleh saja, jiwa yang cinta keduniawian itu telah binasa.

Saudara, jagalah dan pergunakanlah mata kita dengan sebaik-baiknya. Janganlah terus-menerus memandang dunia ini sahaja.  Sebab semuanya ini hanyalah sementara. Tetapi pandanglah terus kepada Yesus Kristus yang memberikan kita kehidupan yang kekal.

Lot memandang Sodom untuk mencari kekayaan. Allah memandang kea rah Sodom mencari kebenaran. Isteri Lot menoleh kea rah Sodom kerana mencari keduniawian dan memperolehi kebinasaan.

Ya… sementara asap Sodom membubung ke udara, kita juga dirujukkan..

IV.         Bagaimana Abraham memandang Sodom

“Dia memandang ke arah Sodom dan Gomora serta seluruh lembah itu…” Kej 19:28

Sekalipun Abraham manusia biasa seperti Lot dan isterinya, namun pandangannya terhadap Sodom sangat berbeza dengan mereka. Abraham memandang Sodom dengan pandangan sedih, kerana negeri yang indah itu telah binasa. Sekalipun Sodom melukiskan kemurkaan Allah, Abraham tahu bahawa Allah Yang Mahakasih akan menyimpan rahmat-Nya bagi semua orang yang percaya dan taku akan Dia.

Pandangan Abraham terhadap Sodom melukiskan cara orang saleh yanmg telah menang, yang melihat akan kebinasaan orang fasik yang tidak mau bertaubat. Mereka memandang dengan penuh kesedihan akan kebinasaan itu, tetapi hati mereka terhibur kerana darah Kristus melindungi semua orang yang percaya dari kecelakaan dan maut yang kekal.

Kesimpulan
Abraham bergumul dalam permintaan doanya untuk Sodom, tetapi sia-sia belaka sebab kekerasaan hati mereka. Meskipun permintaannya tidak berhasil, hatinya tenang, kerana ia telah melakukan apa yang dapat dilakukannya. Orang-orang saleh merasa bersukacita apabila mereka melakukan kewajipan yang diamanatkan oleh Allah iaitu mengabarkan Injil dan sentiasa mendoakan semua orang yang keras hatinya. Sekarang marilah kita melakukan kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah iaitu menjangkau dan berdoa untuk semua orang yang tersesat dan hilang.

Share Button

Leave a Reply