Antara ketenangan dan keselamatan

Mesej Tahun Baru 2006 daripada Ven Canon Lidis Singkung (Archdeacon Pedalaman)

Petikan: Mazmur 62:1-8

Pemazmur menekankan serta mengulangi dua hal dalam petikan ini. Pertama adalah hakikat bahawa dia hanya mempunyai ketenangan apabila dia dekat dengan Allah. Kedua adalah kebenaran pengalaman bahawa di dalam Allah ada keselamatan. Yang ke berapa kalikah sudah kita sendiri selama ada sedar kita dalam hayat kita – bukankah benar – berhadapan dengan hakikat dan kebenaran ini? Hanya apabila kita bersandar dan memujuk diri kita untuk mendekatkan diri dan roh kita dengan Allah barulah kita termampu mendapat satu ketenangan yang tidak mampu digambarkan melalui kata-kata; melainkan ia hanya dapat dialami dan diselami dengan keberadaan serta kemampuan kita. Ketenangan membuatkan kita tidak terpengaruh dengan ribut badai serta taufan ilah zaman ini.

Dan adalah benar bahawa keselamatan yang kita miliki daripada Allah bukanlah semata-mata bermakna kita terhindar dari kuasa maut yang membinasakan tubuh jasmaniah kita. Tetapi, keselamatan dari Allah bermakna kemenangan atas kuasa maut seperti Firman Tuhan yang berbunyi “Hai maut di manakah sengatmu”? Justeru, kalimat ini menggambarkan satu kebebasan dan kemenangan di dalam Tuhan. Maut tidak lagi menghalang kita beribadah kepada Allah dan tidak mematahkan azam untuk berbakti kepada masyarakat. Namun, setiap kali kita mengungkapkan kalimat ini kita tidak putus-putusnya bersyukur kepada Dia kerana kebenaran ini sentiasa mempunyai sudut pengertian yang selalu segar dan baru.

Bagi saya tahun 2006 berbekalkan harapannya yang tersendiri. Kita bersyukur kepada Tuhan kerana pada tahun ini Tuhan telah meletakkan hatinya kepada dua hamba-Nya menjadi pemimpin kita. Bakal Bishop kita Ven Canon Albert Vun akan diangkat secara rasmi menjadi Bishop kita pada 25hb April ini. Bakal Ketua Uskup Gereja Anglikan Rantau Asia adalah Bishop Dr John Chew dan akan dilantik pada 5hb Februari ini.

Di persada pelayanan kita di Luar Bandar tahun 2006 ini menuntut kita untuk terus mendekati, mengenali, menghargai dan melaksanakan aspirasi dan objektif Program Paroki Pedalaman. Cabaran ini sebenarnya mendorong kita untuk membuktikan kita ada  daya dan semangat berdikari dari segi kewangan, penjangkauan dan pengurusan serta pentadbiran gereja kita. Kita mesti kaitkan hal-hal kerohaniah ini dengan semangat patriotisme kita kepada negara kita. Mari kita mengamalkan anjakan paradigma baru ini dengan semangat yang berkobar-kobar yang semestinya datang dari Tuhan Yesus Kristus sendiri.

Pada 9-20 Januari tahun ini kita akan menganjurkan Seminar Penginjilan Asas atau SPA untuk mereka yang telah menduduki SPM/STPM dan sedang menunggu keputusan ataupun sudah mendapat keputusan. Jika anda tidak terlibat dengan KN pada waktu ini sertailah seminar ini. Berhubunglah dengan pihak kami. Kita juga akan menganjurkan retret untuk semua Penginjil Muda pada 16-19 Januari ini bertujuan merapatkan hubungan serta mendorong rakan seperjuangan yang lain. Tarikh untuk Retret Penginjil Diosis pula akan diumumkan kemudian melalui laman web ini.

Saya bercadang untuk mengadakan satu majlis pelancaran laman web ini pada satu tarikh yang akan dipastikan kemudian. Laman ini membantu kita untuk berhubung sesama kita melalui dunia digital. Laman web ini mampu menyumbang kepada pelaksanaan usaha Kerajaan Malaysia merapatkan jurang ICT. Namun di atas semuanya itu kita dapat mengenal isi hati Tuhan dan dapat pula memperkenal isi hati Tuhan kepada sesama kita. Lawati laman ini dan jika anda ada cadangan memperbaiki persembahan ini, jangan segan dan silu – syorkan – kerana semua cadangan anda akan kami terima dan beri perhatian sewajarnya bak kata pepatah, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan.

Nampaknya agak mudah kita memutuskan mana satu pilihan kita. Ketenangan atau keselamatan. Namun di dalam Tuhan ditawarkan kedua-duanya sekali dan bahawa kedua-duanya mampu dimiliki. Carilah dahulu Kerajaan Allah dan semuanya akan ditambahkan kepadamu. Beranikan diri mengharungi semua yang ada dalam tahun 2006 ini.

Salam hormat.

Share Button

Leave a Reply